Panduan asas untuk menjalankan Kajian Tindakan. Empat langkah yang perlu diambil kira dalam melaksanakan Kajian Tindakan iaitu merancang, bertindak, memerhati dan merenung. Panduan ini adalah sebagai asas sahaja. Pihak yang ingin menjalankan Kajian Tindakan bolehlah mengubahsuai panduan mengikut keperluan kajian masing-masing.
3.1 Merancang
Perancangan yang teliti perlulah dibuat terlebih dahulu supaya penyelidik dapat memahami apa yang mesti dilaksanakan. Melalui perancangan yang teliti dan dengan langkah yang terancang, kajian dapat dijalankan dengan teratur dan tepat ke arah mencapai matlamat kajian. Berikut ini beberapa langkah cadangan yang boleh dijadikan panduan untuk merancang pelaksanaan kajian. Langkah-langkah tersebut disenarai mengikut urutan keempat-empat langkah yang perlu dilaksanakan dalam Kajian Tindakan.
3.1.1 Mencari Masalah / Isu
Perancangan kajian bermula dengan mencari atau mengenalpasti masalah yang wujud dalam bilik darjah atau di sekolah yang berkaitan dengan P&P. Sebarang isu yang berkaitan dengan pendidikan khususnya yang melibatkan P&P di bilik darjahjuga boleh dijadikan asas untuk memulakan kajian. Satu lagi asas untuk memulakan kajian ialah keprihatinan penyelidik terhadap pelajar seperti yang berkaitan dengan masa depan mereka.
Bagi mencapai kecemerlangan dalam prestasi akademik, panduan ini menyarankan pelaksanaan Kajian Tindakan bagi satu jangka waktu yang panjang iaitu untuk satu sesi persekolahan atau untuk beberapa tahun persekolahan. Dalam jangka waktu yang panjang itu berbagai masalah P&P boleh ditangani menggunakan pendekatan Kajian Tindakan. Manakala guru pula terlibat secara berterusan untuk meningkatkan keberkesanan amalan mengajar melalui pembudayaan Kajian Tindakan.
Bagi memudahkan langkah mencari masalah, mulakan dengan bertanya "apakah punca yang menyebabkan perkara ini berlaku?" Jawapan kepada soalan itu mungkin seperti contoh berikut:
• Wujud masalah P&P dalam bilik darjah - guru telah berusaha untuk mempertingkatkan pencapaian pelajar dalam penguasaan Bahasa Inggeris tetapi masih tidak berkesan.
• Sekumpulan murid berprestasi tinggi dalam semua mata pelajaran kecuali sains. Keadaan ini akan menyukarkan mereka untuk mendapat peluang menceburi bidang sains selepas persekolahan. Guru yang prihatin terhadap keadaan ini berhasrat untuk membantu murid tersebut meningkatkan pencapaian mereka dalam mata pelajaran tersebut.
• Isu dera kanak-kanak rancak diperkatakan di media masa. Guru berasa bertanggungjawab untuk turut serta membina sifat-sifat penyayang di kalangan pelajar melalui P&P di bilik darjah.
.Suka berkhayal, mudah lupa, menganggu pelajar lain, suka meminjam barang, sering memberi alasan,tiada kelengkapan ke sekolah (pensil, buku,pemadan dll),tidak kemas,ada yang pendiam dan ada yang suka membuat bising,suka melawan, berbahasa dengan bahasa yang kasar,gemarkan aktiviti lasak dan sebagainya.
3.1.2 Memahami Masalah Dengan Lebih Mendalam
Setelah sesuatu masalah dikenalpasti, langkah berikutnya ialah untuk memahami dengan lebih mendalam tentang masalah itu. Dalam proses pembelajaran lazimnya kemahiran yang dipelajari adalah saling berkait. Murid akan mengalami kesukaran untuk memahami dan menguasai kemahiran yang lebih tinggi sekiranya kemahiran yang lebih rendah atau awal tidak dikuasai dengan baik.
Seseorang guru perlu memahami masalah yang dihadapi oleh murid dengan terperinci sebelum merancang langkah-langkah pembaikan. Contoh, apabila dikatakan pecapaian Bahasa Inggeris murid rendah, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan pencapaian rendah itu.
Adakah dengan mengetahui markah murid sahaja sudah dapat membantu guru untuk memahami dan menangani masalah pembelajaran. Apabila murid dikatakan tidak memahami konsep tenses, apakah sebenamya yang tidak difahami oleh murid tersebut.
Terdapat berbagai komponen dalam tenses. Adakah murid menghadapi masalah dalam semua aspek atau sebahagian kecil daripada aspek-aspek tersebut. Semasa membuat sumbang saran untuk memahami masalah, dicadangkan supaya sumbang saran tersebut dikaitkan dengan aspek-aspek seperti keberkesanan amalan pengajaran guru, kemahiran yang menimbulkan masalah di kalangan murid atau lain-lain aspek yang relevan. Di peringkat awal kajian, usaha untuk memahami sesuatu masalah yang telah dikenalpasti dengan lebih mendalam memerlukan guru mengutip data.
3.1.3 Tujuan Kajian Untuk Mencapai Kecemerlangan
Penyelidik perlu jelas tentang tujuan kajian supaya langkah-langkah untuk mencapai tujuan itu dapat ditentukan dan dirancang dengan teliti. Dalam konteks untuk mencapai kecemerlangan pendidikan, tujuan kajian yang diarahkan untuk menangani berbagai masalah pembelajaran adalah lebih tepat. Perhatikan contoh-contoh ini. "Meningkatkan keberkesanan amalan mengajar guru", atau "Meningkatkan pencapaian murid melalui pembelajaran terancang". Kedua-dua contoh tersebut menunjukkan bahawa masa atau skop kajian tidak terhad. Tujuan itu boleh digunakan oleh seorang pengkaji, beberapa orang pengkaji dan untuk satu atau semua mata pelajaran.
3.1.4 Mengutip data
Jawapan kepada sebarang soalan dalam penyelidikan adalah berasaskan data. Kajian Tindakan memerlukan data daripada beberapa sumber untuk mengukuh dan memantapkan dapatan kajian. Selain itu penggunaan data daripada pelbagai sumber atau pandangan turut memantapkan kefahaman penyelidik tentang masalah/isu yang ditangani. Berikut dicadangkan beberapa perkara yang wajar diberi perhatian sebelum mengutip data.
• Fikirkan dan senaraikan semua aspek yang berkaitan dengan masalah/isu yang hendak ditangani. Lazimnya, dari segi P&P aspek tersebut merangkumi amalan guru di bilik darjah pada masa lalu dan kesan amalan itu kepada murid.
• Penyelidik boleh mengutip seberapa banyak data yang diperlukan. Persediaan untuk mengutip dan menganalisis data memerlukan guru meluangkan sejumlah masa. Bagi mengelakkan pembaziran masa manfaatkanlah data yang telah sedia terkumpul di sekolah atau dalam bilik darjah. Dengan memanfaatkan data tersebut guru tidak perlu membina alat. Alat hariya perlu disediakan untuk mengutip data tambahan sekiranya data yang ada belum mencukupi untuk guru memahami sesuatu masalah atau keadaan. Mungkin timbul anggapan bahawa semua data adalah penting atau relevan tetapi setelah dianalisis didapati hanya sebahagian sahaja daripada data berkenaan boleh membantu guru merancang tindakan. Sudah tentulah pengutipan data yang tidak membantu itu membazirkan masa.
• Dalam sesuatu kitaran kajian tindakan, pengutipan data berlaku pada dua peringkat. Peringkat pertama ialah untuk memahami dengan lebih mendalam tentang masalah yang dikenalpasti supaya aktiviti P&P dapat dirancang. Peringkat kedua pula ialah untuk mengesan keberkesanan aktiviti yang dirancang melalui proses pemerhatian. Catatan terperinci harus dilakukan semasa membuat pemerhatian.
• Bagaimana data diperolehi? Pengutipan data memerlukan alat. Lazimnya dalam penyelidikan tradisi, alat yang sering digunakan ialah soal selidik atau temu bual. Dalam Kajian Tindakan alat mengutip data tidak dihadkan kepada satu-satu alat tertentu. Berbagai alat boleh diguna seperti senarai semak, komen bertulis oleh murid tentang amalan guru, catatan harian murid/guru tentang pengalaman di bilik darjah, dairi murid/guru, jurnal, kertas ujian, buku latihan murid dan sebagainya.
• Alat boleh dibina sendiri oleh guru. Membina alat melibatkan sejumlah masa. K-eupayaan penyelidik dari segi masa, dan beban tugas perlu diberi perhatian apabila membina alat. Fikirkan alat yang praktikal dilaksanakan di bilik darjah. Pengalaman menyediakan alat-alat untuk menilai murid-murid boleh membantu guru membina alat untuk mengutip data.
• Di mana data boleh diperolehi? Data untuk memahami masalah di peringkat awal kajian mungkin sudah sedia ada di sekolah dalam bentuk minit mesyuarat, laporan sekolah, rekod pencapaian, buku latihan murid, kertas ujian dan sebagainya. Langkah yang perlu dilakukan ialah menyemak dokumen-dokumen tersebut dan mengeluarkan data-data yang relevan yang boleh menjawab soalan apa, mengapa dan bagaimana berhubung dengan masalah yang hendak ditangani.
• Apabila membuat permerhatian, data yang dicatat hendaklah seperti yang dilihat bukan penilaian terhadap apa yang dilihat. Catatlah apa yang sebenarnya berlaku di bilik darjah semasa guru mengajar dan murid belajar. Perhatikan beberapa contoh data mengikut catatan pihak yang terlibat dalam kajian.
Guru
a. Tidak semua murid turut serta dalam perbincangan.
b. Murid tidak mengikut arahan guru bila membuat aktiviti kumpulan.
Rakan
a. Guru lebih banyak bercakap daripada murid.
b. Murid yang duduk di barisan belakang menguap dan kedengaran mengeluh beberapa kali semasa guru mengajar.
Data Berbentuk Penilaian
a. Murid berbual-bual semasa guru memberi arahan sebab mereka memang tidak minat belajar Bahasa Inggeris.
b. Penyampaian guru lemah.
Data berbentuk statistik bukanlah satu kemestian dalam Kajian Tindakan. Jika berlaku keadaan di mana data berbentuk statistikdiperlukan seperti untuk menunjukkan jumlah murid yang terlibat dalam sesuatu aktiviti, markah ujian dan sebagainya, data ini tidak perlu dianalisis mengikut program analisis statistik yang telah ditentukan tetapi memadai dianalisis dalam bentuk peratus, kekerapan atau jumlah sebenar mengikut perkiraaan biasa. Perhatikan contoh berikut:
a. 8 orang murid belum menguasai kemahiran mendarab.
b. 3 daripada murid masih belum menguasai kemahiran mendarab.
c. Hanya 5 daripada 30 orang murid turut serta dalam perbincangan.
d. 5 orang pelajar mendapat markah 60 daripada 100.
Sekiranya data yang dikutip itu tidak membantu atau tidak mencukupi untuk membuat rumusan atau keputusan tentang sesuatu keadaan, langkah yang perlu dilakukan ialah mendapatkan maklumat lebih lanjut tentang perkara itu. Dapatkan data daripada murid atau pihak yang berkaitan dalam bentuk komen, penjelasan atau sebagainya sama ada melalui catatan, temu bual senarai semak atau lain-lain. Dengan cara ini guru boleh mengesan dengan lebih terperinci mengapa sesuatu keadaan berlaku.
Sebelum mendapatkan maklumat lanjut, fikirkan perkara-perkara yang berkaitan dengan data yang tidak lengkap itu supaya maklumat tambahan yang diperolehi boleh membantu menjelaskan dengan lebih mendalam tentang sesuatu keadaan dan rumusan boleh dibuat tentang perkara itu. Gurujuga boleh meminta murid memberi cadangan untuk memperbaiki aktiviti P&P.
3.1.5 Menganalisis Data
Data yang dianalisis memberikan gambaran yang jelas tentang perkara atau situasi yang dikaji. Analisis itu juga menjadi asas kepada guru untuk .merancang aktiviti P&P seterusnya atau mengubahsuai aktiviti yang telah dijalankan.
Terdapat beberapa cara untuk menganalisis data. Antaranya ialah dengan mengelompokkan data daripada catatan guru, murid dan rakan guru mengikut tajuk, kemahiran, kategori atau sebagainya. Setelah data dikelompok cuba buat perbandingan antara kelompok itu untuk melihat perkaitan. Rumusan, kenyataan atau keputusan boleh dibuat berdasarkan perkaitan antara data guru, rakan dan murid di bawah tajuk yang sama atau tajuk yang berbeza. Contoh menganalisis dan merumus data terdapat dalam Bahagian Keempat - Menulis Laporan Kajian.
3.1.6 Merancang Aktiviti
Apabila merancang aktiviti eloklah dilakukan sumbang saran terhadap langkah-langkah yang akan dilaksanakan melalui pertanyaan apa, mengapa dan bagaimana. Contoh di bawah boleh dijadikan panduan.
• Apa aktiviti yang boleh dilaksanakan?
• Mengapa menggunakan aktiviti itu?
• Bagaimana aktiviti dijalankan?
Dalam proses merancang aktiviti, sumbang saran wajar dilakukan terhadap jenis aktiviti P&P, alat bantu mengajar, persediaan guru, strategi pelaksanaan, peraturan pelaksanaan, latihan yang disediakan, langkah-langkah pemerhatian dan alat mengutip data. Jawapan kepada pertanyaan yang dikemukan semasa sumbang saran hendaklah dikaitkan dengan analisis data. Sumbang saran membantu guru memahami mengapa sesuatu keputusan dibuat. Antara perkara yang boleh diberi perhatian apabila merancang aktiviti P&P ialah:
• Aktiviti boleh dilaksanakan oleh guru dan murid di bilik darjah.
• Penyelidik mempunyai otoriti atau bidang kuasa untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti tersebut.
• Elak aktiviti yang bertujuan untuk mengubah amalan pihak lain yang berada di luar bilik darjah.
• Rancang aktiviti yang boleh melibatkan murid sepenuhnya.
3.2 Bertindak
Setelah aktiviti P&P dirancang dengan teliti, langkah seterusnya ialah bertindak iaitu melaksanakan aktiviti di bilik darjah. Walaupun aktiviti dirancang berdasarkan analisis data yang telah dikutip, keberkesanan aktiviti belum dapat dipastikan. Aktiviti dijalankan melalui proses 'cuba-cuba' (trial and error). Ini bermakna bahawa masih terdapat ruang yang boleh diperbaiki. Sekiranya pelaksanaan peringkat pertama tidak berjaya, aktiviti yang dirancang itu perlu diperbaiki atau diubahsuai dan dilaksanakan dalam pelajaran seterusnya. Proses cuba-cuba dilaksanakan berterusan sehingga berla-ku perubahan iaitu pencapaian murid meningkat ke tahap yang lebih baik daripada masa lepas.
Murid adalah pihak yang turut terlibat secara aktif dalam kajian. Mereka bukan sahaja melaksanakan aktiviti tetapi juga membantu guru mengutip data tentang perkembangan proses P&P berkaitan dengan aktiviti yang dilaksanakan. Dalam konteks ini adalah wajar bagi guru memaklumkan kepada murid tentang kajian itu supaya mereka dapat memainkan peranan untuk bersama-sama menjayakan penyelidikan itu.
3.3 Pemerhatian
Apakah yang dimaksudkan dengan pemerhatian dan apa pula perkara-perkara yang diperhati? Pada peringkat pemerhatian penyelidik sebenarnya mengutip data. Data adalah sangat penting dalam mana-mana kajian kerana sesuatu rumusan atau kenyataan tentang sesuatu situasi berhubung dengan kajian hanya boleh dibuat dengan berlandaskan data. Penyelidikan dilakukan untuk mencari kebenaran. Data adalah bukti kepada kebenaran tentang sesuatu kajian. Sesuatu rumusan atau kenyataan yang dibuat tanpa berlandaskan data adalah merupakan andaian. Data boleh dikutip secara berpasukan melalui guru sebagai penyelidik, murid dalam darjah yang terlibat atau rakan guru.
Langkah pemerhatian haruslah diberi penelitian yang terperinci supaya proses mengutip data berjalan dengan licin dan data yang dikutip menepati keadaan yang sebenar. Tentukan cara dan alat mengutip data sebelum pemerhatian dilakukan. Maklumkan juga kepada pihak yang terlibat dalam mengutip data iaitu murid dan rakan guru, perkara-perkara yang perlu dilakukan semasa mengutip data.
3.4 Merenung
Di peringkat refleksi, penyelidik cuba merumuskan apa yang telah difahami atau dipelajari tentang proses P&P berkaitan dengan amalan mengajarnya. Semasa merenung penyelidik cuba menilai, menghurai dan memikirkan dengan menyeluruh segala aspek berkaitan dengan permasalahan P&P serta reaksi penyelidik dan murid semasa kajian dilakukan. Selain daripada menghuraikan proses P&P, gurujuga boleh menyelami perasaannya sendiri tentang kesulitan, kejayaan, kelemahan, keseronokan, keinsafan dan sebagainya setelah melaksanakan kajian.