Sunday, April 18, 2010

Dorong pelajar minati bidang sains

SAINS adalah satu bidang yang mendapat perhatian tinggi di negara ini. Malah, bidang itu juga dianggap sebagai satu bidang penting untuk ‘mengekalkan pembangunan ekonomi, memperbaiki mutu hidup dan keselamatan negara’ melalui Dasar Sains Negara.

Oleh itu, pelbagai usaha dijalankan supaya bidang sains diterima dan menjadi sebahagian yang penting dalam hidup masyarakat negara ini. Malangnya, setelah sekian lama usaha dilakukan bagi mencapai hasrat itu, kemajuan dan kejayaan dicapai dalam bidang sains di negara ini masih belum dapat dibanggakan.

Malah, dalam banyak keadaan, timbul banyak salah faham terhadap bidang berkenaan. Pelajar, malah ibu bapa sendiri beranggapan bahawa bidang atau mata pelajaran sains adalah sukar.

Buktinya, laporan Kajian Kesedaran Awam terhadap Sains dan Teknologi (2004) menunjukkan bahawa 42.3 peratus rakyat negara ini berpendapat bahawa mata pelajaran sains adalah sukar.

Bagaimanapun, tidak pula dinyatakan apakah bentuk kesukaran itu. Hasil pengamatan penulis, sukar di sini mungkin membawa maksud sukar untuk lulus atau mungkin sukar untuk difahami. Hal itu menimbulkan ketakutan tanpa sebab terhadap bidang dan mata pelajaran sains, terutama di kalangan pelajar Melayu.

Bentuk kesukaran itu wajar dibincangkan dengan lebih lanjut. Namun, perbincangan ini hanya akan menyentuh mata pelajaran sains sebagai satu mata pelajaran yang sukar untuk difahami. Persoalannya, kenapakah mata pelajaran sains sukar difahami?

Pada pandangan saya, jawapan mudah kepada persoalan ini adalah mata pelajaran sains dianggap sukar difahami kerana kelemahan dalam kaedah pengajaran dan pembelajarannya. Bagi mengukuhkan kenyataan ini, saya merujuk kembali kepada laporan Kajian Kesedaran Awam terhadap Sains dan Teknologi (2004).

Kajian itu mendapati 32.4 peratus penduduk menganggap pengajaran sains dan teknologi adalah terlalu akademik. Dengan kenyataan itu maka wajarlah kita mengambil perhatian untuk memperbaiki kaedah pengajaran dan pembelajaran sains, terutama pada peringkat sekolah.

Jika kaedah pengajaran dan pembelajaran pada peringkat itu sudah mematikan minat pelajar terhadap bidang sains, maka kemungkinan besar minat itu akan terus terkubur. Mungkin atas sebab itulah ramai pelajar, terutama pelajar Melayu, kurang berminat melanjutkan pelajaran dalam bidang sains.

Buktinya, kita boleh melihat kepada Laporan Petunjuk Sains dan Teknologi Malaysia (2004) yang menunjukkan bahawa pada peringkat universiti, lebih ramai pelajar memasuki bidang sains kemasyarakatan berbanding bidang sains dan teknologi.

Persoalan seterusnya yang ingin dibawa dalam makalah ini adalah apakah kelemahan dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran sains sehingga gagal menarik minat pelajar terhadap bidang itu. Ada beberapa jawapan yang boleh digariskan di sini.

Contohnya, kelemahan mungkin disebabkan kekurangan kemudahan atau mungkin disebabkan bahan dan alat bantu mengajar yang tidak menarik. Selain itu, kelemahan juga boleh dikaitkan dengan bahasa pengantar yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran.

Kemungkinan besar penyampaian serta penerimaan ilmu tidak begitu lancar kerana kelemahan menguasai bahasa Inggeris di kalangan guru dan pelajar. Kelemahan itu sememangnya boleh memberi kesan kepada minat pelajar dalam bidang sains.

Kemungkinan yang lain adalah berkaitan maklum balas dalam kelas. Jika pelajar tidak dapat memberi maklum balas dalam pembelajaran, maka itu juga boleh menimbulkan rasa bosan.

Terakhirnya adalah berkaitan daya cipta guru dalam pengajaran. Kaedah pengajaran yang sama pada setiap kali kelas pastinya menimbulkan kebosanan.

Berdasarkan kemungkinan itu maka adalah wajar satu ‘revolusi’ dilakukan bagi mengubah kaedah pengajaran dan pembelajaran sains kini. Pada pandangan saya, penyampaian ilmu sains (malahan ilmu lainnya) akan menjadi lebih menarik jika wujudnya ‘interaksi’ atau maklum balas yang pelbagai.

Apa yang dimaksudkan di sini adalah, dalam pengajaran dan pembelajaran sains sewajarnya pelajar dibenarkan berinteraksi dengan persekitaran, guru dan rakan sekelas. Lebih tinggi perhubungan itu adalah lebih baik.

Oleh itu, dalam pembelajaran sains, pelajar seharusnya tidak duduk dalam kelas semata-mata. Mereka seharusnya digalakkan untuk meneroka persekitarannya. Contohnya, jika mempelajari tumbuh-tumbuhan, pelajar seharusnya diberi peluang untuk melihat, merasai dan mengkaji tumbuhan dalam alam persekitaran.

Jika mempelajari mengenai serangga pula, guru boleh membenarkan pelajar mencari serangga dari taman di persekitaran sekolah. Apa yang cuba disampaikan di sini adalah pembelajaran sains akan menjadi lebih menarik jika pelajar tidak hanya duduk dalam kelas.

Selain itu, pelajar sepatutnya diberikan banyak tugasan secara berkumpulan. Mungkin guru boleh menetapkan satu-satu tugasan seperti membuat kincir angin daripada botol plastik atau meminta pelajar membuat model kawasan perumahan mereka.

Apabila tugasan itu selesai maka pelajar diminta membentangkan hasil tugasan itu di depan kelas. Tugasan secara berkumpulan ini bukan saja baik untuk menggalakkan daya cipta pelajar, juga pergaulan serta membina keyakinan diri. Oleh itu, penekanan terhadap perhubungan atau maklum balas dalam pembelajaran sains adalah sangat penting.

Ahli fizik terkenal, K T Compton menyatakan bahawa sains adalah sikap ingin tahu, pemerhatian dan penaklukan mengenai dunia ini. Oleh itu, bagaimanakah kita hendak membentuk sikap ingin tahu, pemerhatian dan penaklukan jika pelajar tidak dibenarkan untuk merasai alam persekitarannya.

Perhubungan dengan alam persekitaran akan merangsang semua deria pelajar dan apabila ini berlaku, pembelajaran sains akan menjadi lebih menarik. Apabila pembelajaran menjadi menarik maka minat pelajar terhadap bidang itu akan meningkat.

Oleh itu, penting bagi kita melihat semula kaedah pengajaran dan pembelajaran sains masa kini. Kelemahannya wajar diperbaiki supaya tidak mematikan minat pelajar terhadap bidang itu. Sudah kerap kali perkara itu disebut namun sehingga kini masih belum nampak adanya perubahan besar dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran sains.

Memang benar ada beberapa perubahan dilakukan seperti menggunakan teknologi maklumat dalam pembelajaran. Namun, kejayaan kaedah itu untuk meningkatkan minat terhadap sains masih diragukan.

Jika pelajar hanya belajar melalui teknologi maklumat tanpa wujudnya perhubungan dengan alam maka minat pelajar terhadap bidang sains tetap akan mati akhirnya. Untuk membentuk suasana pembelajaran sains yang menarik, kreativiti guru sangat penting.

Pada masa sama, usaha guru untuk membina kaedah pengajaran yang menarik haruslah mendapat sokongan. Selain itu, dalam membentuk minat terhadap bidang sains juga, ibu bapa punya peranannya.

Apa yang diajar di sekolah tidak akan dapat dikembangkan jika tidak mendapat sokongan ibu bapa. Ibu bapa sendiri boleh membawa anak mereka meneroka alam persekitaran. Dengan itu, ibu bapa sudah membentuk sikap suka meneroka yang sememangnya sangat penting dalam bidang sains.

Jiwa anak kecil sememangnya suka meneroka persekitaran mereka. Oleh itu, jika kaedah pengajaran dan pembelajaran kini menghalang dan seolah-olah tidak mengiktiraf jiwa atau fitrah anak-anak ini maka kegagalan demi kegagalan akan kita temui.



sumber: http://www.bharian.com.my/

Matematik. Apa Sebenarnya Punca Kelemahan Pelajar Melayu ?

Selamat Tahun Baru - 2010.

Komen negatif mengenai Melayu dan Matematik sudah menjadi lumrah. Melayu dikatakan mudah putus asa apabila berdepan dengan soalan sukar dan kurang disiplin untuk membuat latihan secara konsisten. Pendek kata, ramai pelajar Melayu yang 'ditakdirkan' lemah dalam Matematik. Ini yang saya lihat, buat permulaan saya ingin mengupas isu 'kepincangan' Melayu dalam Matematik dari pandangan dan kaca mata saya sebagai guru Matematik. Selain itu, saya akan turut mendapatkan pandangan terus terang guru-guru Matematik bukan Melayu.

Mengapa pelajar Melayu lemah dalam Matematik.

Mengapa Melayu ? Bukan Cina ? Bukan pelajar India ? Melayu aje ke yang lemah ? Saya tidak bermaksud untuk menjatuhkan maruah bangsa saya sendiri. Tidak sama sekali. Mungkin Melayu menjadi sasaran saya, kerana saya sendiri orang Melayu, dan jika dilihat dari segi statistik, Melayu yang mendominasi Malaysia. Jadi secara tidak langsung, bilangannya ramai. Jika saya membincangkan pelajar Melayu, tidak bermakna pelajar India, pelajar Cina dan lain-lain tidak lemah dalam Matematik.


Melalui pengalaman saya, saya dapati kelemahan yang paling ketara sekali di kalangan pelajar Melayu ialah tiada asas yang kukuh. Jangan hairan, jika terdapat pelajar tingkatan lima yang masih lagi tidak menguasai sifir. Setiap kali, ada soalan-soalan lisan yang menyentuh tentang sifir, pelajar-pelajar ini tanpa ada rasa malu, akan mengeluarkan mesin kira mereka untuk mendapatkan jawapan. Bagi pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan, yang tidak mempunyai mesin kira, mereka ada cara lain, buku tulis akan mereka keluarkan, dan di belakangnya terdapat cetakan sifir, yang pastinya akan membolehkan mereka mengelak daripada didenda.


Sebagai guru, apa daya saya, apakah saya perlu mengajar pelajar-pelajar ini kemahiran sifir semula ? Sedangkan hujung tahun nanti mereka akan menduduki peperiksaan maha besar dalan kamus hidup mereka, Sijil Pelajaran Malaysia. Sebagai guru, saya hanya mampu tersenyum, sekurang-kurangnya pelajar saya berusaha untuk mendapatkan jawapan bagi soalan saya iaitu, 8 x 9 = ????

Tidak faham kemahiran yang diajar. Menjadi cikgu adalah merupakan cita-cita saya dari kecil. Itulah impian saya dan akhirnya saya dapat apa yang saya idamkan. Saya cintakan profesion ini. Jika di sekolah, seandainya saya tidak diberi tugas-tugas yang saya minati , saya mudah berasa kecil hati. Kenapa khidmat saya tidak diperlukan ?Kenapa mereka tak bagi aku tugas itu ? Bisik hati kecil saya. Dan sehingga ke hari ini, perasaan itu masih ada lagi. Saya bersyukur. Saya jadi susah hati sekiranya nama saya tidak tersenarai dalam apa-apa juga aktiviti yang ada kaitan dengan Matematik. Itulah saya. Anak-anak yang sudah dewasa dan menuntut di sekolah berasrama memberi kredit kepada saya untuk duduk di sekolah lebih masa dan ada masanya saya menyambung tugasan di rumah.

Di kelas, sebaik mungkin saya akan memastikan pelajar-pelajar saya memahami apa yang saya ajar. Lebih-lebih lagi, sekarang, mengajar Matematik dalam bahasa Inggeris. untuk berbahasa Inggeris, bukanlah perkara sukar. Apa yang sukar ialah untuk memahamkan pelajar -pelajar tentang kandungan atau kemahiran Matematik yang cuba di sampaikan. Alhamdulillah setakat ini, maklumbalas yang saya terima dari pelajar-pelajar saya , amat menggembirakan.

Punca Kelemahan Pelajar Dalam Matematik - Bahagian 2

Salam. Baru hari ini saya berkesempatan untuk menjengah ke Warna Warna Kehidupan. Maklumlah minggu pertama persekolahan menyebabkan waktu saya cukup terbatas. Entri hari ini, masih lagi berkisar tentang faktor penyebab mengapa pelajar tidak menguasai kemahiran Matematik.

Saya pernah bertanyakan kepada pelajar saya, tentang kegagalannya menjawab beberapa soalan Matematik. Jawapan yang diberikan ialah," tak ingatlah ". Itu jawapan yang diberikan kepada saya.

Terdapat beberapa cara untuk meningkatkan ingatan, antaranya ialah dengan mengurangkan lupaan. Betul kan ? Pelajar perlu memahami betul-betul tentang isi pelajaran yang cuba disampaikan. Pastikan semua yang disampaikan oleh guru-guru anda meresap dan kekal di dalam ingatan. Ingatan juga dapat ditingkatkan dengan membuat ulangkaji dan latih tubi. Menurut Campbell, (saya tidak ingat bukunya), 'the most important thing with homework, of course, is to do it'. Menurutnya lagi, masa yang terbaik untuk membuat ulangkaji Matematik ialah selepas tamatnya kelas Matematik. Ini adalah kerana, menurutnya ingatan pada ketika itu masih kekal segar lagi. Sekiranya latihan itu boleh diselesaikan, pastikan bahawa pelajar memahaminya. Campbell turut menyatakan ,' If you can't solve the problem easily, you'll learn more. When you struggle a problem, you tend to concentrate on it. And when you concentrate, you tend to remember '. Saya sering mengingatkan pelajar-pelajar saya supaya membuat latihan yang saya bekalkan setiap hari, kerana pada saya latih tubi adalah merupakan aktiviti pembelajaran yang dilakukan secara berulang-ulang untuk meneguhkan daya ingatan pelajar. Tapi biasalah , budak-budakkan, saya rasa rakan-rakan guru yang lain ada jawapannya.

Seperti yang saya nyatakan dalam entri terdahulu, '... it is important to link Mathematics with life'. Dengan membuat perkaitan, mengaitkan maklumat dengan persekitaran akan dapat membantu pelajar meningkatkan serta mengukuhkan ingatan pelajar.

Sikap juga memainkan peranan yang sangat penting. ' The differences between those who are goods at Math and those who are not is a matter of behavior... the key is practice. Lots of practice'. - Campbell. Pernyataan ini sudah cukup menjelaskan kepada kita bahawa sikap memainkan peranan penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Sekiranya pelajar-pelajar kita bersikap negatif, negatiflah jawapannya

Einstein Malaysia Lahir Automatik Melalui Pengajaran Sains, Matematik Dalam Bahasa Inggeris?

Dalam meniti perkembangan kemajuan sains dan teknologi, tidak dapat dinafikan bahawa bahasa Inggeris adalah antara bahasa yang terpenting di peringkat antarabangsa. Bahasa Inggeris juga seringkali dianggap sebagai bahasa yang signifikan dalam memastikan kita tidak akan ketinggalan jauh di belakang dalam mengecapi apa yang dikatakan sebagai kemajuan.

Namun, tidak pula yang bercakap tentang bahasa Melayu sebagai bahasa yang menjadi tunjang dalam memperoleh kemajuan. Sedangkan bahasa Melayu telah digunakan begitu meluas sebagai salah satu cabang dari bahasa-bahasa Austronesia oleh sekitar 300 juta penutur dalam gugusan pulau-pulau Melayu-Polinesia. Dalam membina bangsa yang berjaya dan berdaya saing perlu juga diambil kira relevansi dalam sesuatu tindakan. Penialian tersebut perlu dibuat dalam konteks yang meluas dan bersifat jangka panjang serta tidak sempit kepada matlamat yang terbatas dan hanya bersifat jangka pendek.

Masalah sebenar

Menurut Dato' Dr Hasan Ahmad dalam bukunya Ke Arah Kelahiran Melayu Glokal, orang Melayu yang terlibat dalam membuat dasar dan keputusan yang bersangkutan dengan kepentingan bangsa Melayu seharusnya memahami apakah masalah sebenar yang dihadapi oleh orang Melayu.


Seperti contoh dalam menyelesaikan masalah kelemahan pelajar Melayu dalam menguasai bahasa Inggeris. Ada pihak yang mengaitkannya dengan sikap orang Melayu itu sendiri yang membenci bahasa Inggeris.

Maka dengan dasar yang meletakkan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan dalam matapelajaran Sains dan Matematik, pelajar melayu mahu tidak mahu akan belajar bersungguh-sungguh dalam menguasai bahasa Inggeris untuk lulus dalam peperiksaan.

Tetapi, hakikatnya, sebelum merdeka, sejarah telah membuktikan bahawa dasar seperti ini yang menyebabkan anak-anak Melayu tidak mempunyai pendidikan yang lebih tinggi daripada peringkat sekolah rendah.

Beberapa siri peperiksaan diperkenalkan seperti Lower Certificate Education (LCE), Senior Cambridge (SC), dan sebagainya yang menggunakan aliran Inggeris sepenuhnya menyebabkan sebahagian besar pelajar melayu khususnya di luar bandar gagal.

Maka, ekoran itu, peluang mereka untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi tertutup dan akhirnya mereka terpaksa mencari pekerjaan.

Melihat kepada permasalahan tersebut, Allahyarham Tun Abdul Razak telah mengambil inisiatif untuk mengubah dasar pendidikan negara dengan memperkenalkan aliran Melayu di semua sekolah.

Setelah dasar pendidikan negara diubah dan dasar bahasa Kebangsaan diutamakan dalam sistem pendidikan, ratusan ribu pelajar Melayu memperoleh pendidikan yang lebih tinggi hingga ke peringkat pengajian tinggi.

Maka, ramai dari graduan Melayu yang telah berjaya menjadi pakar dan memegang jawatan-jawatan penting dalam bidang pekerjaan mereka masing-masing.

Tambah bebanan

Dalam pada itu, dalam keghairahan kita untuk melahirkan pakar-pakar dalam bidang sains dan teknologi, sebenarnya kita telah menambahkan lagi bebanan kepada mereka yang belajar di luar bandar.

Inilah hakikat yang harus kita terima. Dengan suasana dan kehidupan masyarakat luar bandar yang kurang diberikan pendedahan dalam penggunaan bahasa Inggeris, tiba-tiba mereka dihidangkan dengan mata pelajaran yang sememangnya sukar untuk difahami seperti fizik dan kimia untuk diajar dalam bahasa Inggeris.

Adakah dengan meletakkan sasaran untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam matapelajaran Sains dan Matematik akan berjaya menjadikan mereka saintis yang berjaya secara automatik seperti Albert Enstein?

Profesor Diraja Ungku Aziz pernah memberi reaksi yang agak bercanggah ketika dasar ini dibentangkan dengan menyatakan "sekiranya kita benar-benar ingin memajukan bangsa dalam bidang pendidikan, maka perlengkapkan dahulu kemudahan prasarananya".

Pandangan beliau ini berkait rapat dengan kesukaran yang akan dihadapi oleh pelajar Melayu yang tinggal di luar bandar untuk mempelajari Sains dan Matematik.

Bahasa terpenting

Dalam meniti perkembangan kemajuan sains dan teknologi, tidak dapat dinafikan bahawa bahasa Inggeris adalah antara bahasa yang terpenting di peringkat antarabangsa. Bahasa Inggeris juga seringkali dianggap sebagai bahasa yang signifikan dalam memastikan kita tidak akan ketinggalan jauh di belakang dalam mengecapi apa yang dikatakan sebagai kemajuan.

Dengan masalah kekurangan dari segi kemudahan untuk mendapatkan pendedahan serta kefasihan dalam penggunaan bahasa Inggeris yang masih lemah, sudah tentu pelbagai kesukaran yang akan mereka hadapi untuk belajar matapelajaran-matapelajaran tersebut dalam bahasa Inggeris.

Kesannya, tidak hairanlah mengapa berlaku terlalu banyak keciciran dalam pendidikan yang sebahagian besarnya melibatkan bangsa kita.

Tokoh Dewan Bahasa dan Pustaka DBP Dato' Awang Sariyan ketika membentangkan kertas kerjanya dalam Kenvensyen Bahasa Kebangsaan di Dewan Bahasa dan Pustaka menyatakan cara terbaik dalam menyelesaikan masalah kelemahan penguasaan bahasa Inggeris adalah dengan memperbaiki dan memperkasa sistem pengajaran bahasa Inggeris tersebut tanpa melibatkan matapelajaran lain.

Apabila ia melibatkan matapelajaran lain, ia menunjukkan seolah-olah bahasa Melayu telah hilang wibawanya sebagai bahasa ilmu dalam masyarakat yang membawa kepada corak ketamadunan Melayu-Islam.

Persoalan yang perlu dijawab, adakah adil untuk kita menafikan autoriti bahasa Melayu sebagai bahasa pendidikan hanya disebabkan pelajar melayu lemah dalam perkara-perkara asas dalam bahasa Inggeris seperti penggunaan tatabahasa?

Emperor Puyi sewaktu perang dunia kedua telah bersubahat dengan Jepun untuk menyerang Manchuria dan setelah kemenangan dicapai, beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Emperor. Sebelum beliau dinaikkan pangkat, beberapa perjanjian penting telah ditandatangani dalam menentukan polisi untuk membina negara Manchuko (Manchuria).

Dasar pertama dan yang paling besar dalam polisi negara Manchuko adalah pendidikan dalam negara tersebut perlu menggunakan bahasa Jepun sebagai bahasa pengantar di semua peringkat.

Ini jelas menunjukkan akan kepentingan bahasa dalam bidang pendidikan kerana ia akan menentukan generasi bangsa Manchuko itu sendiri pada masa akan datang.

Jatuh bangun bangsa

Menurut teori Ibnu Khaldun dalam kitabnya Muqaddimah, menyatakan "yang menentukan jatuh bangun sesuatu bangsa adalah kekuatan asabiyahnya". Salah satu perkara yang yang menjadi penentu kepada kekuatan asabiyah tersebut adalah bahasa yang menjadi alat komunikasi sesuatu rumpun bangsa.

Lihat saja beberapa bangsa lain di negara Afrika yang telah hilang identiti bangsanya apabila bahasa penjajah seperti Perancis dan British telah diagungkan dan dijadikan bahasa terpenting dalam semua perkara termasuk pendidikan sehingga menenggelamkan bahasa ibunda mereka.

Apa yang perlu disedari adalah kewibawaan sesuatu bahasa itu tidak terletak pada wibawa bahasa itu sendiri akan tetapi kepada kesetiaan pendokong dan penuturnya.. Profesor Dr James T. Collins menegaskan "wibawa sesuatu bahasa tidak terletak pada struktur dan sintaksisnya, kekuatan dan daya tarik bahasa berasaskan faktor politik dan sosial, termasuk kepesatan dan pencapaian ekonominya serta kesedaran dan kesetiaan penuturnya"

Bahasa sememangnya mencerminkan identiti masyarakat kita. Dalam hipoteis yang dibuat oleh ahli sosiologi linguistik Sapir dan Whorf, bahasa sebenarnya menentukan budaya sesuatu masyarakat.

Seperti contoh bahasa Melayu yang penuh dengan nilai-nilai kesopanan dan kemuliaan telah membentuk budaya Melayu itu sendiri yang dipenuhi dengan nilai-nilai positif.

Sekiranya autoriti bahasa itu tidak dipelihara, maka akan terhakislah keutuhan bahasa Melayu yang dahulunya digunakan sebagai bahasa pergaulan yang bersifat perhubungan (lingua franca) di wilayah kepulauan Melayu sejak abad ketujuh pada zaman kerajaan Srivijaya sehinggalah abad ke-14, dan pada zaman-zaman kerajaan berikutnya seperti Empayar Melayu Melaka.

Dengan terhakisnya keutuhan bahasa Melayu, nilai budaya serta identiti bangsa kita sebagai bangsa Melayu juga akan turut lenyap ditelan zaman.

* Muhammad Faisal ialah Naib Presiden Antarabangsa Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)


http://faisalabdaziz.blogspot.com/

Muhammad Faisal Abdul Aziz

KEKUATAN DAN KELEMAHAN JAWAPAN CALON BAHASA MELAYU KERTAS 2 UJIAN TOV 2010

BAHAGIAN B ( SOALAN RUMUSAN) – 20 MARKAH

Prestasi jawapan pelajar pada bahagian ini masih berada pada tahap sederhana dan tidak mencapai tahap yang dikehendaki. Terdapat perbezaan yang sangat ketara pencapaian markah antara pelajar kelas 6KPUA1 dan 6 KPUA2 yang menunjukkan pelajar 6KPUA1 mampu menjawab soalan lebih baik daripada pelajar 6KPUA2.

Kekuatan:

Pelajar yang dapat menjawab soalan ini dengan baik dapat mengenal pasti isi utama (IU) dengan tepat, mengemukakan 3 hingga 5 isi sampingan (IS), dan menulis kesimpulan dengan tepat. Susunan isi juga tersusun dengan baik seperti teks asal. Tidak terdapat kesalahan bahasa seperti kesalahan ejaan, kesalahan struktur ayat dan kesalahan imbuhan. Pelajar juga menulis rumusan dalam jumlah seperti yang telah ditetapkan dalam soalan iaitu antara 180 hingga 200 patah perkataan.

Kelemahan:

1.Kesalahan ejaan yang begitu ketara terutama dalam mengeja kata sendi nama yang masih dirangkaikan dengan kata nama (keliru dengan kata kerja pasif di-)
2.Mengabaikan aspek mekanis terutama tanda baca seperti noktah dan koma dan penulisan huruf besar dan huruf kecil. Ada tulisan pelajar yang sukar dibaca kerana terlalu kecil dan bentuk huruf yang tidak jelas.
3.Masih kedapatan pelajar yang masih terikut-ikut dengan cara menjawab soalan rumusan pada peringkat SPM dengan memulakan jawapan mereka dengan frasa “petikan membincangkan…
4.Ayat ditulis dengan panjang berjela-jela sehingga satu ayat ditulis dalam satu perenggan sahaja.
5. Dari aspek pemerengganan, kedapatan pelajar yang menulis lebih daripada 3 perenggan sedangkan soalan jelas menyatakan bahawa pelajar hendaklah menulis tidak lebih daripada 3 perenggan.
6. Jumlah perkataan yang melebihi jumlah yang telah ditetapkan menyebabkan ada pelajar yang bahagian kesimpulannya tidak dapat dinilai.
7. Tidak menulis jumlah bilangan perkataan pada akhir jawapan.
8. Menulis atau menyalin ayat daripada petikan secara bulat-bulat.
9. Membina ayat sendiri sehingga maksud ayat tersebut berbeza langsung dengan maksud asalnya.
10. Menulis Isi Utama (IU) dan kesimpulan (K) yang terlalu ringkas dan tidak lengkap.
11.Menyusun kedudukan isi sehingga bercampur aduk.
12.Menulis Isi Sampingan (IS) dalam perenggan pertama yang sepatutnya hanya diisi dengan Idea Utama (IU) sahaja.
13. Banyak melakukan kesalahan struktur ayat sama ada ayat tergantung (tiada subjek/ predikat) dan kesalahan struktur ayat pasif, contohnya:
-Dapat mempercepat pengeluaran secara besar-besaran dengan iklim dunia yang tidak menentu dalam jangka pendek. (Tiada subjek)
Seharusnya: Dalam jangka pendek, teknologi ini (subjek) dapat mempercepat pengeluaran makanan secara besar-besaran dalam keadaan iklim dunia yang tidak menentu.
-Kos penghasilannya yang rendah serta memberi keuntungan yang tinggi kepada pengeluar. (tiada predikat)
14.Melakukan kesalahan tatabahasa sama ada kesalahan frasa, imbuhan, kata pemeri mahupun kata sendi nama.
Contoh: mempercepatkan, …tidak menyedari tentang pengambilan makanan…, ..adalah makanan.., dan banyak lagi.
15.Memasukkan contoh-contoh sehingga rumusan menjadi terlalu panjang.
16.Tidak dapat membuat perbezaan antara fakta dan contoh.
17.Menggunakan penanda wacana seperti oleh yang demikian itu, namun begitu, kesimpulannya, tambahan pula, oleh sebab itu dan banyak lagi.

Jadi, pelajar-pelajar sekalian, elakkanlah daripada melakukan kesalahan-kesalahan di atas untuk ujian atau peperiksaan seterusnya.

KESILAPAN –KESILAPAN YANG DI LAKUKAN OLEH IBU BAPA DALAM MENDIDIK ANAK-ANAK.


1. KURANG BERDOA DALAM PROSES MENDIDIK ANAK.
· Doa adalah permintaan dari hamba kepada Allah swt.
· Ibu bapa yang kurang berdoa membentuk nilai yang rendah,sombong dan berfikiran negatif.
· Ibu bapa harus berdoa untuk kejayaan anak.

2. MEMPERKECILKAN KEBOLEHAN ANAK.
· Setiap anak mempunyai kebolehan yang berbeza.
· Ibu bapa harus peka dengan kebolehan anak.
· Anak yang diperkecilkan kebolehan akan membentuk sifat diri yang pendendam, nilai diri yang rendah dan tidak mampu berdikari.

3. KURANG TEGAS DALAM MENDIDIK ANAK.
· Ketegasan adalah penting dalam menjadual waktu kehidupan seharian.
· Disiplin yang tegas menjadikan anak lebih menghormati keputusan yang dibuat oleh ibu bapa.
Cth : waktu belajar, mengaji, tidur, riadah dan sebagainya.

4. LEBIH BANYAK MEMBERI BELAIAN NEGATIF DARI BELAIAN POSITIF.
· Anak yang dididik dengan belaian negatif akan menjadi bersifat rendah diri dan berperasaan takut.
· Anak memerlukan 20% belaian negatif bagi menyedarkan kesilapan mereka.
· Ibu bapa membantu anak berazam untuk tidak melakukan perbuatan tersebut.

5. KURANG PANDAI MENJADI KAWAN KEPADA ANAK-ANAK.
· Anak memerlukan kawan untuk bercerita, meluahkan perasaan, mengadu hal dan bermain.
· Untuk menyelami hati nurani anak, ibu bapa harus menjadi seperti kawan mereka.

6. KURANG MEMBERIKAN SENTUHAN KEPADA SEMUA ANAK-ANAK.
· Ibu bapa yang cemerlang sentiasa memberikan sentuhan kepada anak-anak.
· Sentuhan yang berupa pelukan, ciuman, dan sebagainya merupakan penawar segala penyakit dan menambahka kemesraan anak kepada ibu bapa.

7. SUASANA RUMAH TANGGA YANG KURANG KONDUSIF.
· Rumah tangga yang sentiasa porak peranda akan menyebabkan anak –anak melarikan diri dan mencari kedamaian diluar rumah.

8. MENEGUR SECARA NEGATIF.
· Anak yang ditegur secara negatif seperti dicemuh dan dikritik akan membentuk minda yang negatif.
· Contoh : Jika dimarahi dengan perkataan “ degil ”, “malas” akhirnya menjadi tabiat kepada anak tersebut. Perkataan itu dizahirkan melalui perbuatan.

9. KURANG MENDEDAHKAN ANAK-ANAK KEPADA MODEL-MODEL YANG CEMERLANG.
· Model model yang cemerlang patut didedahkan kepada anak supaya nilai murni dapat ditanamkan dalam diri anak
· Pendedahan boleh dibuat melalui pembelian buku dan bercerita. Pendedahan penting untuk membentuk keazaman yang tinggi.

10. KURANG MENGHIDUPKAN SUNAH DALAM RUMAH TANGGA.
· Kehidupan rumah tangga Rasulullah saw adalah contoh tauladan yang baik untuk diikuti oleh umat manusia. Cth: makan, tidur,beribadat dan sebagainya.

11. MENUNJUKKAN PERSELISIHAN DI HADAPAN ANAK-ANAK.
· Pertelingkahan dan perselisihan faham antara kedua ibu bapa tidak harus berlaku dihadapan anak. Ini menunjukan kelemahan dihadapan anak-anak.
· Anak akan berasa kurang hormat kepada kedua ibu bapa.

12. KURANG MENGASUH ANAK MEMBUAT KERJA-KERJA RUMAH.
· Anak perlu diasuh dan dilatih membuat kerja rumah supaya tidak timbul pentingkan diri sendiri serta tidak menghargai pekerjaan orang lain.
· Jangan bebankan kerja yang berat. Cth basuh pinggan selepas makan.

13. MASIH MEMBIARKAN AKHLAK YANG BURUK DIDALAM RUMAH TANGGA.
· Ibu bapa harus menghidarkan akhlak yang buruk dalam rumah tangga seperti tabiat yang tidak sesuai seperti merokok, mengumpat, berjudi , memaki hamun dan sebagainya.
· Tabiat yang buruk itu jangan ditunjukan kepada anak-anak.

14. TIDAK MENGANTUNG ROTAN DITEMPAT YANG BOLEH DILIHAT OLEH AHLI KELUARGA.
· Mengantung rotan ditempat yang boleh dilihat oleh ahli keluarga menunjukan disiplin yang kuat dalam rumah tangga. Rotan memberikan ingatan kepada mereka.

15. KURANG MENGAWASI PENDEDAHAN KEPADA TV DAN VEDIO.
· TV dan Vedio memberikan kesan yang mendalam kepada anak-anak yang menonton.
· Ibu bapa harus memberikan pengawasan yang rapi dan menjelaskan isu-isu yang kurang sesuai untuk tontonan anak-anak dirumah.

16. KURANG MENGAJAR ANAK KEMAHIRAN SOSIAL.
· Mengajar anak berinteraksi dengan orang lain adalah tanggung jawab ibu bapa . Kemahiran bercakap dengan orang yang lebih tua, bercakap dengan tetamu,melayan sahabat dan sebagainya.
· Kemahiran ini diperolehi dari ibu bapa melalui contoh dan tauladan.

17. KURANG MENITIKBERATKAN MAKANAN YANG SEIMBANG ATAU SESUAI UNTUK ANAK-ANAK.
· Makanan yang seimbang adalah penting dalam pertumbuhan fizikal dan mental anak-anak.
· Tenaga yang kuat dan mental yang cerdas datang daripada pemakanan yang seimbang dan berzat.
· Makanan yang tidak seimbang akan membantu pertumbuhan mental anak.

18. TIDAK BERSAMA-SAMA ANAK KETIKA MAKAN.
· Waktu makan adalah masa yang paling sesuai untuk berbual-bual dengan anak-anak.
· Rasa kemesraan dan kekeluargaan akan dapat dinikmati jika makan bersama.

19. MEMPAMERKAN PILIH KASIH TERHADAP ANAK-ANAK.
· Anak akan mudah berasa kecil hati jika kasih sayang diberikan secara tidak adil.
· Jangan wujudkan perbezaan dalam memberikan kasih sayang kepada anak-anak .
· Setiap pembelian barang dan sebagainya diberikan secara adil dan saksama antara satu sama lain.

20. TIDAK MERAIKAN ANAK-ANAK KETIKA MEREKA PERGI DAN BALIK DARI SEKOLAH.
· Anak – anak sangat suka di raikan oleh ibu bapa semasa pergi dan balik dari sekolah.
· Mereka merasai dirinya amat disayangi dan diberikan perhatian.
· Berikan pelukan, salam, dan ciuman kepada anak kerana belian seumpama ini akanj menbentuk kecerdasan otak, jiwa, yang tenang, berdisiplin, dan bersifat pengasih.

21. KURANG MEMBERIKAN PENGHARGAAN KEPADA BANTUAN ANAK.
· Setiap bantuan yang anak berikan haruslah diberikan perghargaan.
· Anak-anak akan merasa dirinya dihargai dan bersedia untuk membantu pada masa akan datang.

22. KURANG MEMBERI PENGAWASAN DAN PENYELIAAN MENGENAI PELAJARAN ANAK-ANAK.
· Anak-anak memerlukan bimbingan dan pengawasan semasa mereka sedang berlajar.
· Berada bersama mereka semasa mereka melakukan kerja rumah akan membuatkan mereka berasa di sokong dan dibimbing.
· Ibu bapa akan dapat mengawasi gerak laku anak-anak.

23. KURANG MEWUJUDKAN BUDAYA ILMU DALAM RUMAH TANGGA.
· Setiap rumah seboleh-bolehnya mempunyai perpustakaan keluarga dann cara ini akan menwujudkan budaya ilmu dalam rumah tangga.
· Menwujudkan budaya membaca dalam rumah tangga dengan mengadakan bahan-bahan bacaan seperti akhbar, majalah, buku dan pelbagai bahan bacaan lain.

24. KAEDAH BERKOMUNIKASI YANG KURANG BERKESAN.
· Teknik berkomunikasi dengan anak-anak adalah berbeza jika dibandingkan dengan orang dewasa.
· Anak-anak perlukan belaian dan pujian semasa berkomunikasi.
· Ibu bapa seharusnya memahami kehendak anak dan melebihkan perkataan yang positif dalam komunikasi dengan anak.
· Anak suka berterus terang dan benci pembohongan dan penipuan.

25. TERLALU MEMANJAKAN ANAK.
· Anak yang selalu dimanjakan akan menjadikan mereka bergantung kepada orang lain.
· Selalu menunjukan sifat mengada-ngada dan tidak menghormati orang tua.
· Meningkatkan keegoaan dan sukar menerima orang lain.

26. TERLALU MEMBERIKAN KEBEBASAN KEPADA ANAK-ANAK.
· Kebebasan memmpunyai batasannya.
· Kebebasan yang melampau akan menjadikan anak lupa diri dan merasakan mereka bebas melakukan apa sahaja.
· Kebebasan dengan disiplin yang ketat akan menjamin peribadi yang mulia.

27. TERLALU MENGONGKONG KEBEBASAN ANAK-ANAK.
· Anak yang terlalu dikongkong akan menjadikan mereka hilang keyakinan diri.
· Mereka akan cuba melepaskan kongkongan tersebur dengan melakukan penipuan dan pembohongan kepada kedua ibu bapanya.

28. MUNGKIR JANJI KEPADA ANAK-ANAK.
· Ibu bapa yang mungkir janji dengan anak-anak akan menghilangka kepercayaan anak kepada mereka.
· Setiap anak akan menaruh harapan kepada setiap perkara yang dijanjikan kepada mereka.

29. KURANG MEMBERI LAYANAN KEPADA PERTANYAAN DAN KEMUSYKILAN ANAK-ANAK.
· Setiap anak ingin mengetahui perkara-perkara yang baru.
· Pertanyaan anak hendaklah di layan, kalau tidak dilayan anak merasakan diri mereka tidak diendahkan dan akan menjadi lemah semangat, kecewa dan akhirnya menjadi manusia pendiam.

30. MEMBERI HUKUMAN YANG TERLALU KERAS.
· Hukuman yang terlampau keras tidak akan mengubah perlakuan anak malahan membentuk perasan dendam dalam diri anak.
· Anak akan sentiasa merasa takut untuk mencuba sesuatu yang baru.
· Hukuman yang keras akan menyebabkan anak mengalami kecederaan yang serius cth; pukul dengan benda yang keras.

31. MENGGUNAKAN KAEDAH MENGANCAM ATAU MENGUGUT UNTUK MENDAPAT PERHATIAN ATAU TINDAKAN.
· Mengancam dan mengugut anak akan hanya menambahkan perasaan benci dan dendam dalam diri anak.
· Ancaman dan ugutan akan menyebabkan anak sentiasa dihantui perasaan takut setiap masa.

32. MENANGGUHKAN TEGURAN DAN HUKUMAN.
· Segala teguran dan hukuman hendaklah dilakukan serta merta. Jika ditangguhkan anak-anak akan merasakan ia menjadi kurang penting dan berpontensi mengulangi perbuatan tersebut.

33. TIDAK KONSISTEN DALAM MEMBERI TEGURAN ATAU HUKUMAN.
· Segala teguran dan hukuman yang diberikan kepada anak mestilah dilakukan secara konsisten.
· Jika tidak, anak akan merasa terkeliru dengan teguran dan hukuman yang diberikan.
· Setiap kesalahan yang dilakukan hendaklah diberikan hukuman yang setimpal dengan kesalahan.

34. TIDAK MENGALAKAN ANAK-ANAK UNTUK BERDOA.
· Mengalakan anak-anak berdoa menjadikan mereka bertambah yakin dengan bantuan Allah swt.
· Anak-anak yang tidak mahu berdoa akan menjadikan mereka manusia yang sombong.

35. MEMPUNYAI TANGGAPAN YANG NEGATIF TERHADAP ANAK-ANAK.
· Tanggapan dan penghargaan ibu bapa akan menghasilkan apa yang ditanggap dan diharap.
· Tanggapan yang negatif akan menghasilkan anak yang bersifat negatif.

36. KURANG MEMINTA BANTUAN PAKAR.
· Ibu bapa seharusnya meminta bantuan dari pakar seperti ulama, guru, orang tua, kaunselor dan sebagainya jika mereka menghadapi jalan buntu dalam menguruskan soal anak-anak.

37. TIDAK MENDOAKAN ANAK.
· Ibu bapa mesti sentiasa mendoakan anak supaya mereka menjadi orang yang cemerlang.
· Doa ibu bapa untuk anak

LinkWithin