Sunday, April 18, 2010

Matematik. Apa Sebenarnya Punca Kelemahan Pelajar Melayu ?

Selamat Tahun Baru - 2010.

Komen negatif mengenai Melayu dan Matematik sudah menjadi lumrah. Melayu dikatakan mudah putus asa apabila berdepan dengan soalan sukar dan kurang disiplin untuk membuat latihan secara konsisten. Pendek kata, ramai pelajar Melayu yang 'ditakdirkan' lemah dalam Matematik. Ini yang saya lihat, buat permulaan saya ingin mengupas isu 'kepincangan' Melayu dalam Matematik dari pandangan dan kaca mata saya sebagai guru Matematik. Selain itu, saya akan turut mendapatkan pandangan terus terang guru-guru Matematik bukan Melayu.

Mengapa pelajar Melayu lemah dalam Matematik.

Mengapa Melayu ? Bukan Cina ? Bukan pelajar India ? Melayu aje ke yang lemah ? Saya tidak bermaksud untuk menjatuhkan maruah bangsa saya sendiri. Tidak sama sekali. Mungkin Melayu menjadi sasaran saya, kerana saya sendiri orang Melayu, dan jika dilihat dari segi statistik, Melayu yang mendominasi Malaysia. Jadi secara tidak langsung, bilangannya ramai. Jika saya membincangkan pelajar Melayu, tidak bermakna pelajar India, pelajar Cina dan lain-lain tidak lemah dalam Matematik.


Melalui pengalaman saya, saya dapati kelemahan yang paling ketara sekali di kalangan pelajar Melayu ialah tiada asas yang kukuh. Jangan hairan, jika terdapat pelajar tingkatan lima yang masih lagi tidak menguasai sifir. Setiap kali, ada soalan-soalan lisan yang menyentuh tentang sifir, pelajar-pelajar ini tanpa ada rasa malu, akan mengeluarkan mesin kira mereka untuk mendapatkan jawapan. Bagi pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan, yang tidak mempunyai mesin kira, mereka ada cara lain, buku tulis akan mereka keluarkan, dan di belakangnya terdapat cetakan sifir, yang pastinya akan membolehkan mereka mengelak daripada didenda.


Sebagai guru, apa daya saya, apakah saya perlu mengajar pelajar-pelajar ini kemahiran sifir semula ? Sedangkan hujung tahun nanti mereka akan menduduki peperiksaan maha besar dalan kamus hidup mereka, Sijil Pelajaran Malaysia. Sebagai guru, saya hanya mampu tersenyum, sekurang-kurangnya pelajar saya berusaha untuk mendapatkan jawapan bagi soalan saya iaitu, 8 x 9 = ????

Tidak faham kemahiran yang diajar. Menjadi cikgu adalah merupakan cita-cita saya dari kecil. Itulah impian saya dan akhirnya saya dapat apa yang saya idamkan. Saya cintakan profesion ini. Jika di sekolah, seandainya saya tidak diberi tugas-tugas yang saya minati , saya mudah berasa kecil hati. Kenapa khidmat saya tidak diperlukan ?Kenapa mereka tak bagi aku tugas itu ? Bisik hati kecil saya. Dan sehingga ke hari ini, perasaan itu masih ada lagi. Saya bersyukur. Saya jadi susah hati sekiranya nama saya tidak tersenarai dalam apa-apa juga aktiviti yang ada kaitan dengan Matematik. Itulah saya. Anak-anak yang sudah dewasa dan menuntut di sekolah berasrama memberi kredit kepada saya untuk duduk di sekolah lebih masa dan ada masanya saya menyambung tugasan di rumah.

Di kelas, sebaik mungkin saya akan memastikan pelajar-pelajar saya memahami apa yang saya ajar. Lebih-lebih lagi, sekarang, mengajar Matematik dalam bahasa Inggeris. untuk berbahasa Inggeris, bukanlah perkara sukar. Apa yang sukar ialah untuk memahamkan pelajar -pelajar tentang kandungan atau kemahiran Matematik yang cuba di sampaikan. Alhamdulillah setakat ini, maklumbalas yang saya terima dari pelajar-pelajar saya , amat menggembirakan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin