SAINS adalah satu bidang yang mendapat perhatian tinggi di negara ini. Malah, bidang itu juga dianggap sebagai satu bidang penting untuk ‘mengekalkan pembangunan ekonomi, memperbaiki mutu hidup dan keselamatan negara’ melalui Dasar Sains Negara.
Oleh itu, pelbagai usaha dijalankan supaya bidang sains diterima dan menjadi sebahagian yang penting dalam hidup masyarakat negara ini. Malangnya, setelah sekian lama usaha dilakukan bagi mencapai hasrat itu, kemajuan dan kejayaan dicapai dalam bidang sains di negara ini masih belum dapat dibanggakan.
Malah, dalam banyak keadaan, timbul banyak salah faham terhadap bidang berkenaan. Pelajar, malah ibu bapa sendiri beranggapan bahawa bidang atau mata pelajaran sains adalah sukar.
Buktinya, laporan Kajian Kesedaran Awam terhadap Sains dan Teknologi (2004) menunjukkan bahawa 42.3 peratus rakyat negara ini berpendapat bahawa mata pelajaran sains adalah sukar.
Bagaimanapun, tidak pula dinyatakan apakah bentuk kesukaran itu. Hasil pengamatan penulis, sukar di sini mungkin membawa maksud sukar untuk lulus atau mungkin sukar untuk difahami. Hal itu menimbulkan ketakutan tanpa sebab terhadap bidang dan mata pelajaran sains, terutama di kalangan pelajar Melayu.
Bentuk kesukaran itu wajar dibincangkan dengan lebih lanjut. Namun, perbincangan ini hanya akan menyentuh mata pelajaran sains sebagai satu mata pelajaran yang sukar untuk difahami. Persoalannya, kenapakah mata pelajaran sains sukar difahami?
Pada pandangan saya, jawapan mudah kepada persoalan ini adalah mata pelajaran sains dianggap sukar difahami kerana kelemahan dalam kaedah pengajaran dan pembelajarannya. Bagi mengukuhkan kenyataan ini, saya merujuk kembali kepada laporan Kajian Kesedaran Awam terhadap Sains dan Teknologi (2004).
Kajian itu mendapati 32.4 peratus penduduk menganggap pengajaran sains dan teknologi adalah terlalu akademik. Dengan kenyataan itu maka wajarlah kita mengambil perhatian untuk memperbaiki kaedah pengajaran dan pembelajaran sains, terutama pada peringkat sekolah.
Jika kaedah pengajaran dan pembelajaran pada peringkat itu sudah mematikan minat pelajar terhadap bidang sains, maka kemungkinan besar minat itu akan terus terkubur. Mungkin atas sebab itulah ramai pelajar, terutama pelajar Melayu, kurang berminat melanjutkan pelajaran dalam bidang sains.
Buktinya, kita boleh melihat kepada Laporan Petunjuk Sains dan Teknologi Malaysia (2004) yang menunjukkan bahawa pada peringkat universiti, lebih ramai pelajar memasuki bidang sains kemasyarakatan berbanding bidang sains dan teknologi.
Persoalan seterusnya yang ingin dibawa dalam makalah ini adalah apakah kelemahan dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran sains sehingga gagal menarik minat pelajar terhadap bidang itu. Ada beberapa jawapan yang boleh digariskan di sini.
Contohnya, kelemahan mungkin disebabkan kekurangan kemudahan atau mungkin disebabkan bahan dan alat bantu mengajar yang tidak menarik. Selain itu, kelemahan juga boleh dikaitkan dengan bahasa pengantar yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran.
Kemungkinan besar penyampaian serta penerimaan ilmu tidak begitu lancar kerana kelemahan menguasai bahasa Inggeris di kalangan guru dan pelajar. Kelemahan itu sememangnya boleh memberi kesan kepada minat pelajar dalam bidang sains.
Kemungkinan yang lain adalah berkaitan maklum balas dalam kelas. Jika pelajar tidak dapat memberi maklum balas dalam pembelajaran, maka itu juga boleh menimbulkan rasa bosan.
Terakhirnya adalah berkaitan daya cipta guru dalam pengajaran. Kaedah pengajaran yang sama pada setiap kali kelas pastinya menimbulkan kebosanan.
Berdasarkan kemungkinan itu maka adalah wajar satu ‘revolusi’ dilakukan bagi mengubah kaedah pengajaran dan pembelajaran sains kini. Pada pandangan saya, penyampaian ilmu sains (malahan ilmu lainnya) akan menjadi lebih menarik jika wujudnya ‘interaksi’ atau maklum balas yang pelbagai.
Apa yang dimaksudkan di sini adalah, dalam pengajaran dan pembelajaran sains sewajarnya pelajar dibenarkan berinteraksi dengan persekitaran, guru dan rakan sekelas. Lebih tinggi perhubungan itu adalah lebih baik.
Oleh itu, dalam pembelajaran sains, pelajar seharusnya tidak duduk dalam kelas semata-mata. Mereka seharusnya digalakkan untuk meneroka persekitarannya. Contohnya, jika mempelajari tumbuh-tumbuhan, pelajar seharusnya diberi peluang untuk melihat, merasai dan mengkaji tumbuhan dalam alam persekitaran.
Jika mempelajari mengenai serangga pula, guru boleh membenarkan pelajar mencari serangga dari taman di persekitaran sekolah. Apa yang cuba disampaikan di sini adalah pembelajaran sains akan menjadi lebih menarik jika pelajar tidak hanya duduk dalam kelas.
Selain itu, pelajar sepatutnya diberikan banyak tugasan secara berkumpulan. Mungkin guru boleh menetapkan satu-satu tugasan seperti membuat kincir angin daripada botol plastik atau meminta pelajar membuat model kawasan perumahan mereka.
Apabila tugasan itu selesai maka pelajar diminta membentangkan hasil tugasan itu di depan kelas. Tugasan secara berkumpulan ini bukan saja baik untuk menggalakkan daya cipta pelajar, juga pergaulan serta membina keyakinan diri. Oleh itu, penekanan terhadap perhubungan atau maklum balas dalam pembelajaran sains adalah sangat penting.
Ahli fizik terkenal, K T Compton menyatakan bahawa sains adalah sikap ingin tahu, pemerhatian dan penaklukan mengenai dunia ini. Oleh itu, bagaimanakah kita hendak membentuk sikap ingin tahu, pemerhatian dan penaklukan jika pelajar tidak dibenarkan untuk merasai alam persekitarannya.
Perhubungan dengan alam persekitaran akan merangsang semua deria pelajar dan apabila ini berlaku, pembelajaran sains akan menjadi lebih menarik. Apabila pembelajaran menjadi menarik maka minat pelajar terhadap bidang itu akan meningkat.
Oleh itu, penting bagi kita melihat semula kaedah pengajaran dan pembelajaran sains masa kini. Kelemahannya wajar diperbaiki supaya tidak mematikan minat pelajar terhadap bidang itu. Sudah kerap kali perkara itu disebut namun sehingga kini masih belum nampak adanya perubahan besar dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran sains.
Memang benar ada beberapa perubahan dilakukan seperti menggunakan teknologi maklumat dalam pembelajaran. Namun, kejayaan kaedah itu untuk meningkatkan minat terhadap sains masih diragukan.
Jika pelajar hanya belajar melalui teknologi maklumat tanpa wujudnya perhubungan dengan alam maka minat pelajar terhadap bidang sains tetap akan mati akhirnya. Untuk membentuk suasana pembelajaran sains yang menarik, kreativiti guru sangat penting.
Pada masa sama, usaha guru untuk membina kaedah pengajaran yang menarik haruslah mendapat sokongan. Selain itu, dalam membentuk minat terhadap bidang sains juga, ibu bapa punya peranannya.
Apa yang diajar di sekolah tidak akan dapat dikembangkan jika tidak mendapat sokongan ibu bapa. Ibu bapa sendiri boleh membawa anak mereka meneroka alam persekitaran. Dengan itu, ibu bapa sudah membentuk sikap suka meneroka yang sememangnya sangat penting dalam bidang sains.
Jiwa anak kecil sememangnya suka meneroka persekitaran mereka. Oleh itu, jika kaedah pengajaran dan pembelajaran kini menghalang dan seolah-olah tidak mengiktiraf jiwa atau fitrah anak-anak ini maka kegagalan demi kegagalan akan kita temui.
sumber: http://www.bharian.com.my/
No comments:
Post a Comment